Wednesday, November 27, 2024

Mawan Kekal Presiden SPDP, Tiong Timbalan Presiden

Tan Sri William Mawan mengekalkan jawatan Presiden Parti Demoktratik Progresif Sarawak (SPDP) manakala Datuk Seri Tiong King Sing pula timbalan presiden parti yang baru untuk penggal 2012-2105 pada perhimpunan agung tiga tahun sekali parti itu di sini, Ahad.

Tiong yang sebelum ini bendahari agung parti, menggantikan Datuk Peter Nyarok Entri yang dilantik sebagai presiden kehormat seumur hidup.

Tiong, anggota Parlimen Bintulu, juga merupakan Pengerusi Majlis Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC).

Menggantikan beliau sebagai bendahari agung ialah Senator Pau Chiong Ing.

Mawan mempertahankan jawatan Presiden tanpa bertanding. Beliau menjadi presiden SPDP sejak permulaan parti berbilang kaum itu lebih lapan tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Sagan pula dipilih sebagai naib presiden kanan parti.

Jawatan naib presiden parti pula disandang oleh anggota Dewan Undangan Negeri Meluan Wong anak Judat, Dr Roland Dom Matu dan seorang juruterbang Kapt Zainuddin Tan Sri Hamdan.

Kenyataan daripada jawatankuasa pemilihan berkata beberapa calon yang dinamakan untuk bertanding telah menarik diri dan mesyuarat petang ini akan memilih 14 anggota majlis tertinggi.

Sementara itu, dalam perhimpunan sama, Ketua Wanita SPDP Chiew Yen Chew dan Ketua Pemuda Robert Ayu turut mengekalkan jawatan masing-masing

Teks ucapan Presiden SPDP, YB Tan Sri William Mawan ak Ikom di Mesyuarat Agung Tahunan SPDP pada 17 Mac 2012

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dan pemerhati dari seluruh Sarawak di Mesyuarat Tahunan Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP), iaitu Parti kesayangan kita, pada hari ini.

Saya merasa bangga dan terharu apabila berdiri di atas pentas ini dan melihat hampir dua ribu perwakilan, pemerhati dan penyokong kuat SPDP penuh dengan semangat dan kegigihan sambil memaparkan perpaduan yang begitu kukuh.

Terima kasih, terima kasih saya ucapkan kepada saudara-saudari sekalian atas ketaatsetiaan dan komitmen terhadap perjuangan parti kita selama ini. SPDP adalah parti kita bersama, dan perjuangan SPDP adalah perjuangan kita bersama.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Parti SPDP telah pun mengalami cabaran demi cabaran dan cobaan demi cobaan oleh beberapa individu tertentu selama tiga tahun yang lalu. Kepimpinan parti kita dicabar, perpaduan kita dicabar, perlembagaan kita dicabar dan perjuangan kita dicabar oleh kumpulan ini. Mereka mempunyai agenda peribadi tersendiri dan rela mengetepikan kepentingan Parti SPDP dan perpaduan dikalangan saudara dan saudari sekalian.

Kuasa menjadi teras kepentingan mereka hingga mereka sanggup membuat tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Tidak hairan saya dan rakan-rakan saya di Majlis Tertinggi SPDP jika kumpulan ini berhasrat merampas kuasa secara kotor dan menggunakan taktik jijik – diibaratkan menikam keris dari belakang.

Saya tidak menafikan bahawa kumpulan ini cuba mempengaruhi banyak ahli-ahli kita dan juga beberapa ahli dari parti BN yang lain dengan mengeluarkan bermacam-macam propaganda dan maklumat yang tidak tepat untuk mengelirukan orang ramai.

Terdapat juga laporan bahawa mereka telah pun sengaja memberi maklumat yang palsu atau tidak tepat kepada satu atau dua pemimpin tertinggi BN untuk memperkecilkan-kecilkan SPDP dan pemimpin nya, seolah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin SPDP adalah lemah dan parti SPDP juga lemah.

Saya dan rakan-rakan di Majlis Tertinggi SPDP dan saudara-saudari sekelian pada waktu itu telah berganding bahu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji kumpulan ini. Walaupun dicabar, difitnah dan diperkecil-kecilkan, kita tetap berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang berdasarkan perlembagaan parti dan kepada kuasa dan peraturan yang terbentuk mengikut proses demokrasi. Kita mempunyai prinsip, kita mempunyai sopan santun berpolitik dan kita mempunyai pegangan yang tinggi dan mulia. Kita sabar, kita mempunyai toleransi dan kita mempunyai ketabahan hati. Tetapi kesemua nilai ini mempunyai batasan.

Maka apabila mereka bertindak dan melampaui batasan, kita tidak was was lagi mengambil tindakan keras mengikut perlembagaan untuk menghadapkan mereka kepada badan disiplin dan seterusnya memecatkan mereka dari parti.

Hari ini, mereka bukan lagi ahli parti SPDP. Cerita lama dan politik lama mereka tidak relevan lagi. Walaubagaimana pun, kita harus mengambil iktibar daripada kisahyang pahit ini – iaitu, bahawa sesiapa yang bertindak di luar perlembagaan dan dasar demokrasi untuk kepentingan peribadi akan jatuh dan terbiar di pinggiran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mulai sekarang, mari kita sama-sama menghadapi cabaran dan masa depan SPDP dengan satu tekad, satu matalamat, satu perjuangan. Seiring jalan, kita yakin dan pasti akan mencapainya.

Kini, kita dalam peringkat awal perlaksanaan program transformasi parti, yang kita harapkan akan membawa SPDP ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang. Antara lain, program transformasi ini akan memperkasakan usaha menjangkau golongan muda mudi dan professional untuk menjadi ahli parti kita.

Kini, SPDP mempunyai keanggotaan sekitar 100,000 di seluruh Negeri Sarawak. Kita juga mempunyai rancangan bagi tahun 2012-2014 untuk mencapai peningkatan keanggotaan dengan penambahan 30,000 ahli baru yang berdaftar. Kita yakin bahawa matalamat ini akan tercapai.

Dengan kemasukan lebih ramai dari golongan muda dan profesional, SPDP boleh memainkan peranan yang lebih berkesan lagi untuk menampingi masyarakat, khususnya golongan muda dan profesional dan ini akan memperkuatkan jalinan dan interaksi di antara BN dan golongan ini yang merupakan kuasa penentu dalam pilihan raya. SPDP memberi keutamaan terhadap usaha menjangkau golongan muda dan profesional kerana lebih dari 60 peratus pengundi yang berdaftar sekarang terdiri daripada golongan muda dibawah umur 40.

Saya berharap bahawa dengan lebih ramai orang muda memasuki SPDP, jumlah ahli parti kita akan bertambah dan meneruskan perjuangan dan kepimpinan di setiap lapisan akan terjamin di masa akan datang.

Memandangkan cabaran dan peluang baru ini, saya merayu kepada semua pemimpin dan ahli SPDP untuk berganding bahu menjayakan program menjangkau golongan muda dan profesional dalam usaha kita mentransformasikan SPDP. Lebih-lebih lagi, saya menyeru Puteri dan Putera SPDP untuk memainkan peranan yang lebih luas lagi menerusi aktiviti sosial dan kemasyarakatan,  pendidikan, internet, perbahasan, peraduan bakat dan sebagainya yang diminati oleh golongan muda dan menjadi tali jalinan antara parti dengan mereka.

Kita akan memastikan bahawa setiap mekanisma (mechanism) akan diwujudkan bagi mendukung dan melaksanakan program transformasi Parti SPDP. Adalah hasrat kita bersama supaya SPDP menjadi parti untuk masa depan (ataupun Party of the Future) dan parti kita ialah yang menerajui tindakan sedemikian.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita kini sedang mengalami peringkat awal demam pilihan raya, walaupun kita tidak pasti bila ianya akan diadakan. Tetapi ada beberapa tanda-tanda menunjukan bahawa ia akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam menghadapi cabaran pilihan raya, saya merayu agar semua pemimpin di setiap peringkat bersiap sedia dan akan memastikan bahawa jentera pilihan raya mereka adalah lengkap dan mampu bertindak dengan berkesan.

Saya ingin ingatkan saudara dan saudari bahawa kerjasama dengan kawan-kawan kita dari parti BN yang lain amatlah penting dalam mengendalikan jentera dan kempen pilihan raya akan datang.

Tidak kira apa jua parti dari BN, kita akan menghadapi pilihan raya dibawah satu naungan, iaitu naungan Barisan Nasional, dan calon SPDP di Baram, Bintulu, Saratok dan Mas Gading adalah calon BN. Demikian juga dengan calon dari parti komponen BN seperti PBB, PRS dan SUPP. Maka kemenangan kita adalah kemenangan Barisan Nasional.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kini, SPDP telahpun mencapai usia sembilan tahun. Apabila kita mengimbas kembali sejarah penubuhan dan perjuangan SPDP sehingga ia menjadi sebuah parti yang kukuh dan diterima rakyat dan mampu memainkan peranan penting dalam Barisan Nasional, kita memang merasa bangga.

Dalam hal ini, kita mengakui dan tetap menghargai bahawa YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah pun memberi banyak sumbangan dari segi nasihat, tunjuk-ajar dan sokongan kepada SPDP sejak penubuhan parti kita. Kita terhutang budi dan SPDP tetap menghargai jasa baik YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola Perhimpunan Agung SPDP tahun ini atas persiapan yang lengkap dan memuaskan.

Kepada para perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung SPDP, saya mengalu-alukan kehadiran mereka dan berharap agar mereka memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama mereka dalam Barisan Nasional, lebih-lebih lagi apabila menghadapi, Pilihan Raya Negeri akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya akhiri ucapan saya dengan petikan beberapa rangkap dari lagu “You’ll Never Walk Alone” salah sebuah lagu yang menjadi anthem atau pun lagu rasmi pasukan bola Inggeris Liverpool.

Saya tujukan rangkap lagu ini yang cukup bermakna khas untuk para perwakilan dan pemerhati:

You’ll Never Walk Alone

When you walk through a storm
Keep your head up high
And don’t be afraid of the dark
At the end of the storm
Is a golden sky
And the sweet silver song of a lark

Walk on through the wind
Walk on through the rain
Tho’ your dreams be tossed and blown

Walk on, walk on
With hope in your heart
And you’ll never walk alone
You’ll never walk alone

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular