KUCHING: Sebanyak 32,555 MyKad yang sudah siap di seluruh Sarawak belum dituntut pemiliknya setakat ini, sekali gus menyebabkan berlaku lambakan di hampir kesemua pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di ne-geri ini.
Menurut Penolong Pengarah (Bahagian Pentadbiran) JPN Negeri Sarawak Norazian Mat Noor, lambakan MyKad yang sudah siap terdapat di pejabat JPN Kuching, Batu Kawa, Bintulu, Kapit, Limbang, Miri, Sibu, Serian dan Sri Aman.
Beliau berkata, pemohon harus mengambil MyKad yang sudah siap kerana ia dokumen pengenalan diri yang sangat penting dan MyKad siap yang tidak dituntut bagi tempoh agak lama mungkin akan di-lupuskan.
“Masih menggunakan MyKad lama walaupun telah menukar kepada MyKad Struktur Baharu dan gemar berlengah untuk pergi ke pejabat JPN kerana mengetahui penukaran MyKad lama kepada MyKad Struktur Baharu tidak wajib merupakan antara faktor yang menyebabkan sikap sambil lewa pemohon,” ujarnya.
“Mengikut peraturan-per-aturan Pendaftaran Negara 1990, Seksyen 26, tempoh simpanan MyKad di pejabat JPN adalah selama 18 bulan dari tarikh ia dikeluarkan dan selepas itu MyKad berkenaan akan dilupuskan.
“Bagaimanapun, seksyen ini tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada Ketua Pengarah yang boleh menetapkan suatu jangka masa lebih panjang. Gantian MyKad yang ti-dak dituntut akan dikenakan fi tertentu,” katanya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai yang pernah memohon MyKad agar menelefon pejabat-pejabat JPN berdekatan untuk menyemak dan membuat janji temu masa mengambil MyKad siap tanpa perlu beratur atau menunggu lama di Kaunter C3 (Call, Collect, Counter).
Beliau menambah, bagi memudahkan orang ramai mengambil MyKad siap, JPN mewujudkan Pusat Cetakan MyKad Teragih di JPN Kuching dan JPN Miri.
Menurutnya, dengan adanya sistem itu, pemohon boleh mendapatkan MyKad dalam tempoh satu hari berbanding 30 hari dari tarikh permohonan sekiranya permohonan dilakukan di JPN cawangan lain di Sarawak.
JPN juga, katanya, merancang menambah Pusat Cetakan MyKad Teragih di bandar lain seperti di Sibu dan Sri Aman, selain mendapatkan nombor telefon pemohon semasa memohon untuk dihubungi jika MyKad mereka siap.
“Semua ini adalah penambahbaikan yang dilakukan JPN untuk memudahkan pemohon mengambil MyKad siap, selain menghantar senarai pemohon tidak dituntut ke Pejabat Residen setiap tiga bulan.
“Kita juga dari semasa ke semasa membuat hebahan melalui media massa dan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, JPN biasanya akan menghantar notis kepada pemohon selepas tempoh tertentu untuk memberitahu mereka agar memungut MyKad sudah siap dan membuat serahan di lapangan terutama di kawasan pedalaman melalui Unit Khas Bergerak.