Enam termasuk lima sekeluarga maut dalam satu kemalangan di kilometer 113 Jalan Sibu – Bintulu, Sarawak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Omar Bakhtiar berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 8.10 pagi apabila sebuah kereta Proton Saga bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, seorang kanak-kanak tercampak keluar kira-kira 10 meter dari Proton Saga terbabit.
Manakala pemandunya serta dua penumpang yang lain termasuk seorang bayi tersepit di dalam kereta berkenaan.
Kesemua mereka mati di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa penumpang Toyota Hilux meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Balingian.
Mereka yang maut adalah Mohd Ferhan Suib 35 tahun, Dayang Norhayati Tusin 30 tahun, Norhafizah Tusin 23 tahun, Siti Norasidah Mohd Adi Azri 2 tahun dan Mohd Danish Nurhan Mohd Ferhan 9 bulan.
Manakala penumpang Toyota Hilux yang maut adalah Napsiah Hasan 61 tahun.
Pemandu serta seorang lagi penumpang kereta Hilux terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.