86 senapang patah daripada ‘Ops Siaw Loong’ dilupuskan

10

SIBU: Pelupusan barang kes ‘Ops Siaw Loong’ melibatkan 86 laras senapang patah dijalankan di Stor Amra Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, ‘Ops Siaw Loong’ dilancarkan di seluruh negeri pada 2000 setelah maklumat diperolehi mengenai pengeluaran lesen senjata api secara tidak sah diketahui.

“Pengeluaran lesen secara tidak sah itu dilakukan oleh orang tengah yang berurusan dengan pegawai pengeluar lesen senjata api di pejabat daerah,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Martin berkata, bagi daerah Sibu sebanyak 82 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 bersabit tangkapan dan rampasan senjata api dan amunisi serta dokumen berkaitan ‘Ops Siaw Loong.’

Katanya, hasil keterangan individu yang ditangkap, empat kertas siasatan induk juga dibuka di bawah Seksyen 7 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Hasil siasatan yang dijalankan pada 26 September 2006, Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara Malaysia di Kuching, DPP Mahmud Abdullah telah memutuskan kesemua individu yang ditangkap bersabit 82 kertas siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 tidak dikenakan tindakan undang-undang dan dibebaskan tanpa syarat.

“Timbalan Pendakwa Raya juga bersetuju bahawa orang tengah dan pegawai pelesenan daerah Sibu yang terlibat dalam empat kertas siasatan induk tersebut dikenakan ISA dan kesemuanya telah dibuang daerah selama tempoh tiga tahun,” jelasnya.

Oleh itu katanya, kesemua senjata api, amunisi dan lesen senjata api yang dirampas itu mesti dilupuskan.

Martin berkata, tindakan itu adalah wajar selepas permohonan pelupusan di bawah Seksyen 413 Kanun Prosedur Jenayah ditetapkan pada 30 April.

Hadir sama pada pelupusan barang kes sekitar jam 3 petang semalam ialah Majistret Mahkamah Sibu Sharifah Fatimah Azura Wan Ali, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Hadian Keria, pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sibu.

“Ini merupakan pelupusan terbesar barang kes melibatkan senjata api dalam sejarah polis IPD Sibu,” tambah beliau.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here