PKR pada Jumaat mengumumkan 27 calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini.
Antara yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng di DUN Kakus.
Joshua berkata, pengumuman hanya 27 calon adalah berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi setelah membuat perincian.
“Rasional di sebalik ini bukan untuk bertanding tetapi yang lebih penting untuk menang… oleh kerana kita fokus kepada kemenangan, kita pilih kerusi yang kita yakin menang.
Oleh kerana kita fokus kepada kemenangan, kita pilih kerusi yang kita yakin menang.
“Selain itu, di mana ada parti DAP bertanding, PKR tidak akan bertanding bagi mengelakkan pertindihan.
Itu adalah prinsip serta semangat kami dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media pengumuman nama calon parti itu di ibu pejabat PKR Sarawak di sini.
Semalam, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata PKR akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi pada PRN ke-12 itu.
Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Dominique Ng berkata, kali ini PKR bertindak rasional dengan tidak meletakkan calonnya di kerusi yang tidak mempunyai harapan untuk menang.
“Sebenarnya, 49 kerusi yang kami nyatakan sebelum ini adalah kerusi yang diberi tumpuan, tetapi kami tidak menyatakan kami akan bertanding secara realiti, kami lebih menumpukan perhatian di kerusi boleh menang daripada meletakkan calon di kawasan yang kami langsung tiada peluang.
“Sekarang ini nampaknya banyak parti lain… jadi kami memutuskan untuk mengurangkan kerusi kerana kami perlu realistik dalam jangkaan kami.
Sebab itu, kami lebih suka membuat pengurangan drastik,” katanya.
Dominique berkata, PKR mungkin akan membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.
“Ini adalah senarai 27 yang kita boleh umumkan dan akan ada satu atau dua kerusi lagi (kemungkinan akan diputuskan di saat akhir).
Tetapi sudah tentu tiada pertembungan dengan DAP, kerana kami bertanding dalam PH yang sama,” katanya. – Bernama
Berikut ialah senarai calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 seperti yang diumumkan hari ini:
Opar – Meneng Biris
Tupong – Ahmad Nazib Johari
Satok – Nor Dahlia Esapian Eyau
Batu Lintang – Cherishe Ng
Asajaya – Mahmud Epah
Serumbu – Micheal Sawing
Tarat – Christo Micheal
Tebedu – Senior William Rade
Sadong Jaya – Piee Ling
Lingga – Abg Abd Kasim Abg Bujang
Beting Maro – Abg Zulkifli Abg Engkeh
Saribas – Patrick Kamis
Bukit Saban – Mikail Mathew Abdullah
Ngemah – Satu Anchom
Machan – M Fauzi @ Joseph Usit
Telian – Mohd Arwin Abdullah
Balingian – Abd Jalil Bujang
Kakus – Joshua Jabeng
Katibas – Munan Laja
Murum – Ani Amat
Bekenu – Norhafizah Johari
Lambir – Zolhaidah Suboh
Marudi – Elias Lipi
Telang Usan – Philip Jau Ding
Mulu – Roland Engan
Batu Danau – Racha Balang
Ba’kelalan – Martin Samuel Labo