KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sepuluh tahun yang dilaporkan hampir lemas di sungai Kampung Stutong sekitar jam 1.40 petang hari ini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian dan terus menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan unit EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) BBP Padungan ke lokasi.
Anggota EMRS juga katanya, melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) untuk menyelamatkan mangsa setibanya mereka di tempat kejadian.
Mangsa yang dikenali sebagai Alric Addison Liong seterusnya dihantar ke HUS menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia di zon merah hospital ketika menerima rawatan.
Mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat HUS untuk tindakan lanjut.