KUCHING — Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak diminta membangunkan jalan keselamatan sempadan serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di kawasan Murum, bagi menghubungkan Sarawak dengan Nusantara, Kalimantan, yang dirancang sebagai ibu kota baharu Indonesia.
Ahli Dewan Undangan Negeri Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata jalan itu dicadang bermula dari Empangan Murum, Belaga hingga Pos CIQS Long Nawang, Indonesia dengan jarak melibatkan kira-kira 123 kilometer.
“Laluan jalan keselamatan sempadan ini akan turut melalui Long Lidem, seterusnya ke Long Unai dan ke Tapak Megah (pos sempadan Malaysia). Baru-baru ini, ketika lawatan ke CIQS Long Nawang, kita melihat Indonesia sudah 75 peratus siap dari segi kemudahan dan jalan raya, (tetapi) di sebelah kita (Sarawak) masih menggunakan jalan balak sepenuhnya.
“Kita cadangkan kerajaan membina CIQS yang berdekatan dengan Indonesia kerana kita tak mampu buat terlampau jauh kerana tidak dapat mengawal pergerakan dan kemungkinan wujudnya jalan tikus,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
VIDEO berkaitan
Terletak di daerah Belaga, Tapak Megah ialah pos kawalan sempadan yang terdekat dengan Nusantara, melibatkan jarak lebih kurang 23 kilometer ke Pos CIQS Long Nawang.
Chukpai berkata dengan menaik taraf jalan raya tersebut, ia akan turut merancakkan aktiviti ekopelancongan di kawasan tanah tinggi sekitarnya seperti Apau Nawai, Belaga dan Usun Apau, Baram.
“Pembinaan jalan itu akan turut melewati beberapa lokasi tanah tinggi yang cantik… jadi kita mahu menerokai potensi untuk kita bangunkan ia sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya bagi menyokong usul penghargaan atas ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, beliau berkata pembinaan jalan keselamatan sempadan akan mewujudkan kestabilan serta keseimbangan pembangunan dan kawalan keselamatan Malaysia-Indonesia.
“Dengan terbinanya jaringan jalan raya umpama tulang belakang di tengah-tengah Pulau Borneo ini kelak sudah pasti akan menjadi ‘game changer’ (pengubah keadaan) yang akan merancakkan pembangunan sosioekonomi Sarawak dan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.