Thursday, November 28, 2024

Lebih 10 jam bertemankan mayat mangsa langgar lari

MIRI: Tiga lelaki terpaksa bertemankan mayat seorang pemuda selama lebih 10 jam dalam kejadian yang berlaku di KM130, Jalan Pesisir Pantai sebelum berjaya mendapatkan bantuan daripada orang awam awal pagi semalam.

Mangsa yang dipercayai dilanggar lari itu dikenali sebagai Everet Bakar, 21, berasal dari Marudi dan tinggal di Tudan serta bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran mayatnya ditemui.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 8.30 malam kelmarin, mangsa yang berjalan kaki seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke kuartersnya di sebuah ladang berhampiran selepas sesi minum minuman keras bersama beberapa rakannya.

Mangsa yang dikatakan mabuk dipercayai telah dilanggar sebuah kenderaan ketika melalui jalan tersebut menyebabkan mayatnya terpelanting ke tepi jalan berhampiran sebuah jambatan di KM130, Jalan Pesisir Pantai di sini.

Lebih menyayat hati, mayat mangsa hanya ditemui bapa saudaranya serta dua rakan yang kebetulan melalui jalan sama sekitar jam 9 malam kelmarin.

Ketika ditemui, mangsa terbaring di tepi jalan berhampiran sebuah jambatan dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia.

Usaha bapa saudara dan dua rakannya untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa tidak berhasil memandangkan mereka tidak mempunyai kenderaan untuk menghantar mangsa ke hospital serta tiada telefon bimbit untuk menghubungi pihak polis mahupun saudara-mara untuk memaklumkan insiden tersebut.

Pada masa sama, mereka cuba menahan beberapa kenderaan yang melalui jalan itu untuk meminta bantuan namun tidak diendahkan dipercayai takut memandangkan persekitaran jalan yang gelap dan sunyi.

Atas rasa perikemanusian, bapa saudara mangsa dan dua rakannya nekad menjaga mayat mangsa sehingga mereka berjaya menghubungi polis sekitar jam 7.30 pagi semalam dengan bantuan seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Sepasukan polis dari Balai Polis Batu Niah kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan kejadian itu.

Siasatan awal polis di tempat kejadian turut menemui serpihan bahagian kenderaan yang pecah dipercayai milik kenderaan yang telah melanggar mangsa.Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular