Thursday, November 28, 2024

Wanita Penan Terbunuh Dilanggar Bas – Impian miliki MyKad tidak kesampaian

Terlepas tangan suami, wanita Penan terbunuh dilanggar bas ketika melintas jalan

Penan-woman-killed-6

MIRI: Hasrat seorang wanita Penan yang merantau jauh dari kampung halamannya di Ulu Baram untuk menjadi seorang warganegara Malaysia yang sah tidak kesampaian apabila dia terbunuh setelah dilanggar sebuah bas dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Miri-Lutong di sini, pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Julan Batang, 42, dan berasal dari Long Palai, Ulu Baram maut di tempat kejadian setelah dirempuh bas yang datang dari arah Lutong menuju ke pusat bandar.

Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dengan otaknya bersepai di atas jalan serta patah tangan kiri.

Ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 8.45 pagi itu, mangsa bersama suami, Upek Usan, 48, sedang melintas jalan di kawasan kaki jejambat di Bulatan Pujut iaitu dari arah pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk pergi ke seberang jalan.

Menurut Upek yang ditemui di tempat kejadian, ketika melintas jalan dia turut memimpin tangan isterinya namun pegangan tangan mereka terlepas dan dia terus berlari ke konkrit pembahagi jalan untuk menunggu isterinya yang ketinggalan di belakang.

“Bagaimanapun, ketika berada di tengah jalan, dia telah dilanggar oleh bas yang datang dari arah Lutong menuju ke pusat bandar,” katanya dalam nada sebak.

Upek juga memberitahu semasa kejadian, mereka sedang dalam perjalanan untuk pergi ke rumah saudara yang terletak di Piasau dan seterusnya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini untuk memohon MyKad memandangkan kedua-dua mereka masih belum memiliki dokumen tersebut.

Difahamkan, pasangan itu yang mempunyai tiga anak lelaki berusia antara lapan bulan dan dua tahun lebih tiba di sini sejak sebulan lalu untuk mendapatkan MyKad dan mencari pekerjaan serta menyewa rumah di kawasan Sungai Adong di sini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi memberitahu, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes tersebut.

“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Mun menasihatkan para pengguna jalan raya terutama pejalan kaki supaya sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan terutama di jalan yang sibuk.

“Jangan ambil risiko melintas di jalan raya yang sibuk dan sekiranya ada jejantas disediakan, seelok-eloknya manfaatkan kemudahan yang disediakan pihak berkuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, beberapa orang awam yang enggan nama mereka disiarkan menyarankan pihak berkuasa agar membina sebuah lagi jejantas berhampiran pejabat SEB untuk mengelak atau mengurangkan kes kemalangan jalan raya terutama membabitkan pejalan kaki.

Ini kerana, menurut mereka, jalan raya di kawasan terbabit sentiasa sibuk dan pada masa sama, ia merupakan laluan utama penduduk di kawasan berhampiran sama ada untuk ke Pasar Tani yang dibuka hujung minggu serta kedai di sekitarnya atau mereka yang membayar bil-bil elektrik.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular