SIBU: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di atas lantai bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini tidak hadir bekerja semalam menyebabkan beberapa rakan sekerjanya bimbang dan mencari mangsa di kediamannya sekitar jam 3 petang semalam.
Katanya, sepasukan polis segera ke lokasi sebaik menerima panggilan bahawa mangsa, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, berasal dari Kanowit ditemui hanya berkain batik di atas lantai di tepi katil dan sudah meninggal dunia di bilik sewanya.
“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi petang semalam.
Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik sewa itu memandangkan suaminya bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Tatau.
Sementara itu, menurut seorang rakan sekerja, sebelum kejadian suaminya ada menghubungi pihak pejabat untuk mencari isterinya sekitar tengah hari semalam.
Susulan itu, beberapa rakan sekerja pergi ke rumah sewa mangsa dan terkejut dengan penemuan itu.
Menurut mereka, mangsa merupakan seorang yang peramah dan kali terakhir dilihat di pejabat kelmarin.
Suami mangsa, 29, yang tiba di lokasi kejadian sekitar jam 4.40 petang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya dan ditenangkan oleh anggota polis.
Mangsa dan suaminya telah berkahwin lebih kurang setahun dan belum mempunyai cahaya mata.
Stanley berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
………………..
‘Nurnia mati akibat dihentak objek tumpul’
KANOWIT: Bedah siasat ke atas mayat Nurnia Azalea Priscila Edward mendapati wanita berusia 26 tahun itu maut berikutan kecederaan pada kepala akibat dihentak dengan benda tumpul.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata selain itu, terdapat pendarahan di bawah selaput otak serta pendarahan di permukaan otak, retak tengkorak dan lebam yang menyeluruh di bawah kulit kepala mangsa.
Katanya, bedah siasat juga mendapati mangsa mengalami banyak kesan kecederaan akibat hentakan benda tumpul yang tertumpu pada muka, kepala dan leher.
“Mangsa juga ada kesan kecederaan kerana diikat dan dijerut pada leher, pergelangan tangan dan kaki.
“Kami masih memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai Philip Uja, berusia 40-an, bagi membantu siasatan kes ini,” katanya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Nurnia yang selesai dibedah siasat awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kanowit, jam 10 pagi tadi.
Orang ramai termasuk ahli keluarga dan rakan rapat hadir di tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir.
Mayat Nurnia ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kaki dan tangannya diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup dengan kain dan tudung, jam 3.45 petang semalam.
Mangsa yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Sibu tinggal bersendirian di bilik sewa di sebuah rumah manakala suaminya pula bertugas di Tatau, Bintulu.