Wednesday, November 27, 2024

Satu Kementerian Baru Dan Tujuh Muka Baru Dalam Rombakan Kabinet Sarawak

Rombakan Kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud Rabu menyaksikan pembentukan sebuah kementerian baru, lima kementerian ditukar nama dan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda.

Kementerian baru dalam rombakan kabinet, yang akan berkuatkuasa Jumaat ini, ialah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang akan diketuai Datuk Fatimah Abdullah dan dibantu dua Menteri Muda yang juga muka baru iaitu Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat Vincent.

“Muka-muka baru Menteri Muda lain ialah Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr Jerip Susil dan Liwan Lagang,” kata Taib pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Kesemua Menteri Muda baru itu akan mengangkat sumpah jawatan Jumaat ini.

Taib berkata Julaihi dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar; Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) manakala Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan).

“Kesemua menteri penuh dikekalkan dan sebahagian kementerian mereka ditukar nama,” kata Ketua Menteri Sarawak.

Taib berkata lima kementerian yang ditukar nama adalah Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi yang akan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Sosial diketuai Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan manakala Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam ditukar menjadi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti diketuai Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber akan dikenali sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar; Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar menjadi Kementerian Perumahan manakala Kementerian Pelancongan dan Warisan dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, kedua-duanya di bawah Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Taib, yang mengekalkan porfolio Kementerian Kewangan serta Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, berkata tiada keperluan segera untuk pelantikan Timbalan Ketua Menteri kedua.

Beliau berkata barisan Kabinet sedia ada dengan hanya seorang Timbalan Ketua Menteri yang dipegang oleh seorang lagi Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar sepatutnya tidak menjadi isu besar.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri kedua sebelum ini disandang oleh Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan kosong berikutan kekalahan beliau pada pilahan raya negeri Sarawak April lepas.

Taib berkata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing dikekalkan sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan juga akan memegang portfolio Menteri Kanan bersama Sooh Koh dan Mawan.

Ketua Menteri itu berkata peranan mereka sebagai Menteri Kanan adalah untuk menyelaraskan sesama mereka pembangunan khusus yang perlu dilaksanakan bersama.

Taib berkata Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dilantik menjadi Menteri Pembangunan Industri yang baru dan kekal sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar kedua serta Menteri Kemudahan Awam manakala

Datuk Seri Michael Manyin kekal dengan portfolio sebagai Menteri Pembangunan Instruktur dan Komunikasi.

Taib berkata tiga jabatan negeri negeri iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pihak berkuasa tempatan akan disusun semula.

“Penyusunan semula JKR kini sudah hampir selesai manakala pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pertanian mungkin mengambil masa kira-kira lima tahun untuk selesai,” katanya.

Kementerian baru:
Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga

Lima kementerian yang ditukar nama

Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi yang akan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Sosial
Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam ditukar menjadi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.
Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber akan dikenali sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.
Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar menjadi Kementerian Perumahan.
Kementerian Pelancongan dan Warisan dikenali sebagai Kementerian Pelancongan.

Berikut adalah senarai penuh Kabinet Sarawak berikutan rombakan kabinet yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu.

Ketua Menteri:

Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Timbalan Ketua Menteri:

Tan Sri Alfred Jabu Numpang

Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas:

Tan Sri Adenan Satem

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri:

1. Datuk Daud Abdul Rahman (Hal Ehwal Islam)

2. Datuk Mohd Naroden Majais (Pembangunan Usahawan Bumiputera)

3. Datuk John Sikie Tayai (Hal Ehwal Adat Pribumi dan Penan)

4. Datuk Len Talif Salleh (Promosi Pendidikan Teknikal)

Kementerian Kewangan:

1. Menteri: Tan Sri Abdul Taib Mahmud

2. Menteri Kedua: Datuk Seri Wong Soon Koh

Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar:

1. Menteri: Tan Sri Abdul Taib Mahmud

2. Menteri Kedua: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan

3. Menteri Muda (Perancangan Sumber):Datuk Mohd Naroden Majais

4. Menteri Muda (Alam Sekitar): Datuk LenTalif Salleh

Kementerian Modenisasi Pertanian:

1. Menteri: Tan Sri Alfred Jabu Numpang

2. Menteri Muda (Penyelidikan dan Pemasaran): Datuk Mong Dagang

3. Menteri Muda (Pertubuhan Peladang):Datuk Sylvester Entri Muran

Kementerian Pembangunan Industri:

1. Menteri: Datuk Amar Awang Tengah AliHassan

2. Menteri Muda (Pembangunan EstetPerindustrian): Datuk Peter Nansian Ngusie

3. Menteri Muda (Pelaburan dan Promosi): Julaihi Narawi

Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi:

1. Menteri: Datuk Seri Michael Manyin Jawong

2. Menteri Muda (Pembangunan Infrastruktur): Datuk Daud Abdul Rahman

3. Menteri Muda (Komunikasi): Datuk Lee Kim Shin

Kementerian Pembangunan Luar Bandar:

1. Menteri: Tan Sri Alfred Jabu Numpang

2. Menteri Muda: Datuk Francis HardenHollis

3. Menteri Muda: Julaihi Narawi

Kementerian Pembangunan Tanah;

1. Menteri: Tan Sri Dr James Jemut Masing

2. Menteri Muda: Datuk Gramong Juna

3. Menteri Muda: Datuk Abdul Wahab Aziz

Kementerian Pembangunan Sosial:

1. Menteri: Tan Sri William Mawan Ikom

2. Menteri Muda (Sukan): Datuk Lee Kim Shin

3. Menteri Muda (Pembangunan Belia): Abdul Karim Hamzah

4. Menteri Muda (Kebudayaan dan Warisan): Liwan Lagang

Kementerian Pelancongan:

1. Menteri: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg

2. Menteri Muda (Acara tempatan dan Produk): Datuk Gramong Juna

3. Menteri Muda (Pelancongan): Datuk Talib Zulpilip

Kementerian Perumahan:

1. Menteri: Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg

2. Menteri Muda: Abdul Karim Hamzah

3. Menteri Muda: Datuk Francis Harden Hollis

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti:

1. Menteri: Datuk Seri Wong Soon Koh

2. Menteri Muda (Perkhidmatan Komuniti): Datuk Peter Nansian Ngusie

3. Menteri Muda (Kerajaan Tempatan): Datuk John Sikie Tayai

4. Menteri Muda (Kesihatan Awam): Dr Jerip Susil

Kementerian Kemudahan Awam:

1. Menteri: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan

2. Menteri Muda (Utiliti Awam): Datuk Dr Stephen Rundi Utom

3. Menteri Muda (Bekalan Air): Datuk Sylvester Entri Muran

Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga:

1. Menteri: Datuk Fatimah Abdullah

2. Menteri Muda (Kebajikan): Robert Lawson Chuat Vincent

3. Menteri Muda (Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga):Rosey Yunus

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular