Borneo Street di Kuala Lumpur

6

Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mempertimbang cadangan mewujudkan ‘Borneo Street’ di ibu negara sebagai pusat perniagaan dan pengkomersialan produk Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata cadangan itu disuarakan Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor, yang berharap kerajaan dapat menyediakan kawasan perniagaan produk Borneo.

Katanya, Borneo Street akan menghimpunkan peniaga anak negeri Sabah dan Sarawak, untuk mengkomersialkan produk yang melambangkan keunikan kepelbagaian etnik di dua negeri berkenaan.

“Seperti mana komuniti Melayu, Cina dan India, kita juga perlu lokasi khas untuk komuniti Borneo menjalankan perniagaan, seperti Borneo Street Kuala Lumpur.

“Cadangan ini adalah untuk mempromosi produk unik dari Sabah dan Sarawak kepada penduduk tempatan dan pelancong luar, selain meningkatkan nilai komersial produk Borneo.

“Kementerian akan menunggu satu cadangan rasmi dihantar kepada kami daripada pihak persatuan, untuk kita berbincang bagi menentukan konsep, lokasi dan seumpamanya,” katanya pada sidang media pelancaran Festival Borneo Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi dan Penasihat Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor, Dr Lawrence John dan Pengerusi Suria KLCC Sdn Bhd, Datuk Hashim Wahir.

Festival Borneo Antarabangsa 2019 diadakan di Suria KLCC bermula hari ini hingga Jumaat, bertujuan mendedahkan keunikan budaya kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak.

Ditanya bilakah Borneo Street akan diwujudkan, Khalid berkata, ia akan diputuskan selepas Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor menghantar cadangan rasmi kepada pihaknya.

 

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here