DRAMATIK: isteri mangsa memujuk mangsa sebelum diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam insiden tersebut.
KUCHING: Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari tingkat tujuh bangunan milik sebuah universiti swasta di Simpang Tiga di sini tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk oleh isterinya sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, semalam.
Lelaki berusia 36 tahun itu nekad bertindak sedemikian dipercayai akibat mengalami tekanan perasaan yang berpunca daripada masalah keluarga yang kemudian menjejaskan prestasi kerjanya.
Ekoran itu, mangsa yang bekerja sebagai staf sokongan universiti tersebut ditegur oleh pihak pengurusan menyebabkan dia nekad ingin terjun dari bangunan itu melalui tingkap sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Menurut jurucakap polis, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berhubung kejadian.
“Dengan bantuan daripada isteri mangsa serta rakan-rakannya, pihak bomba berjaya memujuk mangsa dan membawanya masuk semula ke dalam bangunan kira-kira 30 minit selepas itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertekan dengan masalah keluarga dan kerja dan buat masa ini, dia dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan dan akan ditahan untuk siasatan atas kesalahan cubaan membunuh diri,” katanya.
Mangsa juga diberitahu akan dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam satu kejadian berasingan, seorang wanita berusia 48 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung di rumahnya di Jalan Durian Burung di sini, semalam.
Menurut sumber, mayat mangsa ditemui oleh kakaknya sendiri di tingkat atas rumah mangsa ketika melawat mangsa sekitar jam 9 pagi semalam.
Mangsa difahamkan seorang diri di rumahnya di mana suaminya telah pergi bekerja, manakala dua lagi anak bersekolah.
Pihak polis juga bergegas ke tempat kejadian dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.