#MA63: Pindaan komprehensif dituntut

2

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam meluluskan usul untuk mendapatkan pindaan yang komprehensif kepada Perlembagaan Persekutuan.

Usul itu diluluskan sebulat suara oleh ahli Dewan dan dibahas oleh 47 ahli dewan terdiri daripada ADUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Pakatan Harapan (PH).

Usul tersebut dibentang oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting.

“Bahawasanya, Dewan memutuskan selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 April 2019, mahu mendapatkan pindaan yang komprehensif kepada Perlembagaan Persekutuan seperti berikut;

“Mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Persekutuan Tanah Melayu ketika Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipersetujui dan dimeterai.

“Kedua, memperuntukkan, Persekutuan yang lazim dirujuk adalah yang ditubuhkan di bawah MA63 dan bukan di bawah Persekutuan Perjanjian Malaya, 1957 dan

“Ketiga, melindungi kuasa perundangan dan eksekutif Sarawak, sumber pendapatan dan geran khas yang diberikan kepada Sarawak serta autonomi kewangannya,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak menuntut beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan selepas rundingan mengenai MA63 dengan Kerajaan Persekutuan selesai.

Pertama, pindaan Perkara 1(2) dibaca seperti berikut 1. (2) Negeri-Negeri Persekutuan mengikut Perjanjian Malaysia 1963, haruslah

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, dan

(b) The Borneo States iaitu Sabah dan Sarawak.

Ketiga, memasukkan satu Perkara baharu 85A yang dibaca seperti berikut:

85A (1) Di mana tanah atau kepentingan ke atas tanah di Negeri-Negeri Borneo, yang diduduki, digunakan, dikawal oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam untuk tujuan persekutuan di bawah Seksyen 75 Akta Malaysia, 1993 (No.26 of 1963) atau diberi hak dalam Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam selepas Hari Malaysia bagi tujuan persekutuan, dihentikan permohonan bagi tujuan persekutuan, tanah tersebut harus tidak

(a) dilupuskan oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa atau

(b) tanpa persetujuan Kerajaan Negeri digunakan untuk persekutuan lain atau apa-apa maksud lain selain maksud yang tanah itu digunakan sebaik sebelum Hari Malaysia atau tujuan yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik itu, jika ada, bagi tanah tersebut.

(2) Jika persetujuan kerajaan negeri tidak diberikan di bawah perenggan (b) fasal (1)

(a) bagi kes tanah diduduki, diguna atau dikawal dan diurus Kerajaan Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam mengikut Seksyen 75 Akta Malaysia 1963 (No.26, 1963), Kerajaan Persekutuan harus menawarkan semula tanah itu kepada Kerajaan Negeri tertakluk kepada Kerajaan Negeri membayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi nilai bangunan yang dibina atau dinaik taraf oleh Kerajaan Persekutuan di atas tersebut sejak Hari Malaysia;

atau

(b) bagi kes bagi tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurut Perkara 83 dan 85, tanah tersebut harus dikembali dan diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri apabila bayaran balik semua premium yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan untuk tanah tersebut di bawah Fasal (2) Perkara 83 atau Fasal (1) Perkara 85.

Ketiga, Pindaan Perkara 95B iaitu menambah satu lagi Fasal yang diberi nombor Fasal (1A) dibaca seperti berikut;

(1A) Tiada pindaan harus dibuat kepada tambahan untuk Senarai II atau Senarai III Jadual Kesembilan atau kepada Perlembagaan ini, jadi termasuk sebarang perkara yang belum ada dalam sebarang senarai seperti dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, tanpa persetujuan Badan Perundangan Sabah dan Sarawak untuk dinyatakan melalui resolusi yang diluluskan oleh Badan Perundangan kedua-dua negeri tersebut (Sabah dan Sarawak).

Keempat, Perkara 160(2)-4.1 Menggantikan definisi ‘Persekutuan’ dengan definisi baharu seperti berikut:

‘Persekutuan’ harus bermakna Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963.

4.2 – Menambah definisi baharu berikut:

‘Hari Malaysia’ bermakna 16 September 1963.

Kelima, Perkara 161A (7) – Senarai-senarai Perkara ini menyenaraikan semua kaum yang merupakan penduduk asal Sarawak (iaitu peribumi Sarawak). Ia dicadang untuk meminda Perkara ini dengan menambah:

(a) menambah selepas perkataan ‘Sea Dayak’ perkataan ‘atau Iban’.

(b) menambah selepas perkataan ‘Land Dayak’ perkataan ‘atau Bidayuh’; dan

(c) menambah selepas perkataan ‘Murut’ kepada perkataan ‘atau Lun Bawang’.

Keenam, meminda Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan –

1. Meminda ‘Pelancongan’ daripada perkara 25A dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) untuk disenaraikan sebagai Perkara 10 dalam Senarai III (Senarai Bersama)

2. Menambah ‘Alam Sekitar’ sebagai Perkara 19 kepada Senarai IIIA (Tambahan kepada Senarai Bersama untuk Sabah dan Sarawak).

Hasidah berkata, beliau mengemukakan usul itu agar DUN berpeluang menyatakan dengan jelas dan terang bentuk pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan harus dimasukkan dalam sebarang rang undang-undang perlembagaan pada masa akan datang di Parlimen.

Selain itu katanya, Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dibentuk bagi tujuan itu dapat memahami dan menyokong pindaan-pindaan dicadangkan oleh DUN Sarawak.

“Tidak ada rakyat Sarawak mahu berada dalam Persekutuan yang dibentuk di bawah Persekutuan Perjanjian Tanah Melayu 1957 dan dianggap sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu.

“Ini tidak pernah menjadi aspirasi pemimpin-pemimpin kita terdahulu yang menandatangani MA63 untuk membuka jalan kepada lahirnya Malaysia,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here