PRN11: Kritikan Abdul Aziz Terhadap PKR Bukan Mewakili DAP – Naib Presiden PKR

0
PKR enggan melayan tuduhan pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, bahawa ‘PKR pentingkan diri’ dalam perebutan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang akan diadakan seawal Mac ini.
Naib presidennya, Dr. Shaharuddin Badaruddin bertegas PKR akan mempertahankan kerusi yang diperuntukkan kepada partinya sebelum ini dan hanya akan bertolak ansur jika berlaku pertembungan di 11 kerusi melibatkan kawasan persempadanan baru seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semalam, Abdul Aziz Isa, pembantu kepada Chong Chieng Jen mendakwa PKR “sangat mementingkan diri sendiri dan hanya memenuhi kehendak sendiri” selepas bertegas mahu mempertahankan kerusi DUN Tupong di Kuching.
Bukan itu sahaja, Abdul Aziz juga menuduh PKR ‘tanpa kepala, tanpa arah dan keliru dengan konsep”, serta “sentiasa sukar untuk didekati’.
Dia kemudiannya menarik balik kenyataan itu tanpa memberi sebarang sebab.
“Suara-suara itu (tuduhan Abdul Aziz) datang daripada pemimpin-pemimpin kecil, bukannya daripada peringkat tertinggi. Pemimpin tempatan yang berhasrat untuk bertanding di peringkat DUN, namun tidak memahami perjanjian dan perkara-perkara yang perlu diselesaikan di peringkat bawahan.
“Kalau bertindih pun, biarlah di 11 kawasan baru. Tetapi kawasan-kawasan lain yang tradisinya ditandingi oleh PKR dan contohnya kini DAP nak bertanding di kawasan itu, maka kena diselesaikan melalui rundingan. Janganlah buat kenyataan yang bukan-bukan mendakwa PKR tak bertolak-ansur dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Shaharuddin menambah, kerusi DUN Tupong yang diidamkan Abdul Aziz adalah kerusi tradisi PKR sejak 2011 dan ia adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.
DAP Sarawak dilaporkan merancang untuk menamakan Abdul Aziz sebagai calon DUN itu tetapi PKR pantas mencanang untuk meletakkan ahli exco wanitanya, Nurhanim Hanna Mokhsen.
PKR juga bertegas mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada partinya pada pilihan raya 2011 tidak boleh dirunding.
“Tupong merupakan kawasan yang PKR tandingi sejak 2001. Jadi tidak timbul soal PKR mengambil kerusi DAP kerana mereka tak pernah bertanding di kawasan Melayu kerana sering bertanding di kawasan majoriti Cina.
“Jadi isu yang mengatakan PKR cuba mengambil tempat DAP dan cuba mengambil tempat yang ditandingi DAP ialah tidak betul. Sebelum DAP mengumumkan tempat-tempat yang mereka nak tandingi, kena berbincang dahulu di peringkat Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.
Shaharuddin memberitahu sehingga kini Pakatan Harapan (PH) masih berbincang mengenai pembahagian kerusi untuk PRN Sarawak.
Beliau juga menasihati sekutunya agar bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan ‘bukan-bukan’ yang boleh menjejaskan kerharmonian kerjasama antara parti-parti
Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here