Wednesday, November 27, 2024

PRU13 mungkin selewat-lewatnya Nov – Abdul Karim Rahman

KARIM

KOTA SAMARAHAN: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kemungkinan akan diadakan selewat-lewatnya November tahun ini.

Ramalan itu disuarakan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah semasa ditemui selepas majlis penyerahan biji benih labu di Dewan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan semalam.

Namun, beliau memberitahu keputusan muktamad mengenai PRU13 terletak di tangan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi sekarang kita berada pada pertengahan jalan di mana jika kita membubarkan Parlimen sekarang, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak mampu untuk tidak dibubarkan.

“Ini mungkin perkara yang menghalang Perdana Menteri daripada mengumumkan pembubaran pada waktu itu walaupun beliau mungkin mahu berbuat demikian, tetapi jika beliau merasakan pihak pembangkang tidak akan membubarkan kerajaan tidak guna pilihan raya diadakan kerana selepas pilihan raya kita masih hilang empat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapannya sebelum itu yang menyatakan PRU13 kemungkinan akan diadakan dalam tiga bulan ini iaitu September, Oktober dan selewat-lewatnya November tahun ini.

“Jadi mungkin itu sebabnya kenapa mereka perlu menunggu sehingga selepas (sambutan) merdeka atau perayaan Hari Raya atau dalam bulan September, Oktober dan November… itulah pandangan saya,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu kekerapan menteri persekutuan datang ke negeri ini juga mungkin salah satu petanda PRU semakin hampir.

Terdahulu dalam ucapannya, Karim yang juga ADUN Asajaya berkata:”PRU13 mungkin akan diadakan dalam tiga bulan ini iaitu pada September atau Oktober atau selewatnya November ini.”

Pada masa yang sama, beliau menasihati rakyat di negeri ini supaya bijak memilih parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.

Tambahnya, sikap pembangkang yang diibaratkan seperti lalat atau langau yang datang mengikut musim dan mencari keburukan hanya mengaburi mata rakyat.

“Mereka lebih kurang kita melihat lalat atau langau yang akan datang cari benda yang busuk, macam itulah saya melihat pembangkang apabila dekat pilihan raya mereka akan datang dan cari keburukan (BN) selepas itu hilang,” ujarnya.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular