PSB terus mengorak langkah

5

Hujung minggu lepas, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dahulu dikenali sebagai United People Party (UPP) terus menggembara untuk melebarkan sayap ke seluruh ceruk pelosok bumi kenyalang.

Selepas melancarkan Cawangan PSB di Kanowit beberapa minggu sebelum ini, PSB terus mengorak langkah meneruskan pembukaan cawangan untuk memudahkan mendaftar ahli serta berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar, PSB minggu lepas melancarkan Cawangan PSB di Kapit. Majlis Pelancaran PSB Cawangan Kapit telah diadakan di Star Up Café, Jalan Song – Kapit hari Sabtu lepas.

Pelancaran Cawangan PSB di Kapit telah disempurnakan oleh Presiden PSB iaitu Dato Sri Wong Song Koh yang juga merupakan Menteri Kewangan Kedua dan Perdagangan Antarabangsa dan E- Dagang Sarawak.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan-Timbalan Presiden iaitu, Datuk Jerip Susil, Datuk Masir Kujat, dan Datuk Joseph Entulu Belaun serta pengerusi bersama majlis iaitu Dato Kristoffer Nyuak dan Koh Kumbong. Personaliti ini telah cuba untuk melebarkan sayap ke kawasan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) di Kapit.

Persoalannya, mampukah PSB menarik minat penduduk di Kapit yang selama ini berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) dan kini Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai serta menyokong PSB? Apakah tujuan PSB yang selama ini mengatakan menyokong kepimpinan Ketua Menteri yang merupakan ketua GPS bertindak melebarkan sayap ke kawasan parti komponen GPS? Persoalan ini harus dijawab dengan sebaik-baiknya oleh PSB.

Memetik apa yang diperkatakan oleh Presiden PSB adalah pada PRU lepas, kebanyakkan pengundi di bandar dan luar bandar menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan terdahulu. Tambahan beliau, oleh itu kita harus membuat analisis terhadap keputusan PRU supaya dapat memahami perasaan tidak puas hati mereka.

Wong Song Koh turut menegaskan hanya dengan cara itu dapat mengetahui kelemahan dan mencari jalan untuk memenangi balik keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan parti. Adakah PSB melihat parti mereka sebagai sebuah parti alternatif kepada rakyat Sarawak? Sejauhmanakah peranan PSB yang diluar GPS dalam arena gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti?

Persoalan ini perlu diteliti oleh semua parti komponen dalam GPS.

Di Kapit, keputusan PRU 14 lepas menunjukkan peningkatan majoriti undi diperolehi oleh Datuk Alexander Nanta Linggi yang mewakili BN Sarawak yang kini GPS. Alexander mendapat 10,479 undi majoriti. Ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen P.215 Kapit iaitu DUN 61 Pelagus, DUN 62 Katibas, dan DUN 63 Bukit Goram.

Ketiga-tiga DUN ini juga dikuasai GPS semasa PRN ke – 11 lepas menerusi PRS di Pelagus, PBB di Katibas dan Bukit Goram. Kenapa PSB ingin melebarkan sayap ke Kapit? Adakah GPS tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan Kapit dari kaca mata PSB? Ini perlu kita renung-renungkan.

Apa pun, mungkin matlamat utama PSB ke Kapit ialah ingin menilik nasib di kawasan Parlimen P.216 Hulu Rejang. Ada tiga buah DUN di bawah parlimen Hulu Rejang iaitu DUN 64 Balleh, DUN 65 Belaga, dan DUN 66 Murum. Kesemua DUN serta parlimen di kuasai oleh PRS yang merupakan parti komponen GPS.

Apa yang dapat dilihat, pendekatan yang digunakan oleh PSB dalam merencanakan pergerakkan parti ialah, PSB akan berada dimana kerusi PRS ada. Kerusi DUN PRS kesemua terletak di kawasan pedalaman atau luar bandar majoriti kaum Iban. Percaturan PSB ini sudah pasti tidak menyenangkan PRS yang merupakan komponen GPS.

Politik begini perlu diselesaikan oleh kepimpinan GPS secara telus dan tuntas. Pendekatan yang berani serta tepat harus di ambil oleh kepemimpinan GPS untuk menolak PSB yang ternyata boleh memecah-belah perpaduan dalam GPS.

Kehadiran PSB yang dahulu dikenali sebagai UPP ternyata menganggu gugat parti komponen GPS terutama PRS dan SUPP. Demi memastikan semangat perpaduan dalam kalangan parti komponen GPS, kepimpinan tertinggi parti perlu berani bertindak dengan menolak PSB dalam kerangka politik GPS.

Sekiranya tidak ada tindakan, mungkin ada agenda lain yang tersembunyi dengan kewujudan PSB dalam arena politik Sarawak yang terang-terangan menggangu gugat parti komponen GPS iaitu PRS dan SUPP.

Adakah pendekatan PSB ini merupakan satu strategi politik untuk mengekalkan kuasa dalam politik Sarawak? Sama-sama kita nantikan apa yang akan berlaku dalam menuju ke arah PRN ke – 12 nanti.

Pasti akan berlaku polemik dalam politik Sarawak ke arah PRN ke – 12 nanti. Realitinya, hak serta suara rakyat Sarawak harus diutamakan daripada berpolitik tanpa henti.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here