Wednesday, November 27, 2024

Rumah runtuh di Miri – 3 beranak nyaris maut

Rumah runtuh di Miri

MIRI: Sebuah rumah dihuni sembilan ahli keluarga runtuh menyembah bumi dalam kejadian di Kampung Haji Wahed di sini pada jam 7 malam kelmarin.

Mangsa, Mariam Abdullah, 43, memberitahu ketika kejadian, dia berada di dapur dan tiba-tiba berasa rumah senget, seakan-akan condong ke bawah bukit.

“Pada waktu itu, hanya saya, suami dan salah seorang anak di rumah. Anak lain berada di rumah kakak saya.

“Ketika berasa rumah senget, suami mengarah saya dan anak keluar tanpa sempat menyelamatkan barang,” cerita Mariam kepada Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang melawat kejadian itu di sini, semalam.

Mariam yang berasal dari Bintulu berkata, rumah itu disewanya sejak lebih 10 tahun lalu dengan bayaran RM150 sebulan.

Jelasnya, dia dan suaminya Herman Osman, 51, mempunyai rumah sendiri namun belum didiami kerana tiada bekalan air dan elektrik.

Rumah di kawasan agak tinggi dan curam itu roboh kerana dipercayai tanah bahagian dapur susur dan mendap akibat hujan lebat malam kelmarin.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerugian harta benda yang belum dapat dikenal pasti.

Semua mangsa kini menumpang sementara di rumah kakak Mariam di kampung yang sama.

Terdahulu, jiran mangsa, Manjan Mergi menyampaikan hasrat kepada Lee untuk meminta bantuan lot perumahan baharu kerana bimbang perkara sama menimpa keluarganya.

Menurut Manjan, sebahagian rumah rosak akibat runtuhan rumah Mariam.

“Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak 20 tahun lalu dan ini kejadian kedua yang saya alami. Saya bimbang ia akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Manjan menaruh harapan, ada pihak membantu mencari tempat tinggal baharu untuk keluarganya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, pihaknya akan membantu keluarga Mariam mendapatkan bekalan elektrik dan air bagi memudahkan keluarga itu mendiami rumah sendiri.

“Kes Manjan pula, saya akan berbincang dengan pihak terbabit terutama Jabatan Tanah dan Survei bagi membantu mencari lot sesuai membantu Manjan sekeluarga,” tambahnya.

Read more: http://www.theborneopost.com/2015/01/03/rumah-runtuh-menyembah-bumi/#ixzz3Nk29lvCk

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular