Tiga lelaki pecah masuk, larikan tabung surau Baitul Rahmah dirakam CCTV

1

LIMBANG: Tiga lelaki memecah masuk Surau Baitul Rahmah, Batu Biah dekat sini dan melarikan tabung surau dalam kejadian yang berlaku awal pagi Sabtu lepas.

Dalam kejadian pada jam 2.32 pagi itu, ketiga-tiga suspek memasuki surau berkenaan untuk membuka tabung berkenaan, namun gagal dan bertindak mengangkatnya keluar.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi enam minit tular dalam aplikasi WhatsApp di sini sejak tiga hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Limbang DSP Tega Bilong berkata, kejadian itu disedari jawatankuasa surau ketika hendak sembahyang Subuh apabila mendapati tabung surau yang diikat dengan rantai besi dan digril pada tiang simen dalam surau hilang dipercayai dicuri.

“Hasil semakan CCTV yang dipasang dalam surau mendapati tiga suspek lelaki terlibat dalam kejadian ini.

“Ketiga-tiga suspek memakai topi kaledar dan bertopeng muka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tega berkata, hasil siasatan di tempat kejadian berjaya menemui tiga kesan cap jari di cermin tingkap laluan masuk suspek.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan usaha mengenal pasti suspek giat dilakukan.

“Kejadian itu menyebabkan kerugian sebanyak RM300,” ujarnya sambil menambah, kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dalam kes berasingan, seorang penganggur 28 tahun ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu dalam operasi di hadapan perumahan Desa Pabahanan petang kelmarin.

Tega berkata, dadah seberat 1.05 gram bernilai RM150 dirampas dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 2.25 petang.

“Suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah juga positif Methamphetamine dan Amphetamine hasil ujian saringan awal yang dilakukan ke atasnya,” katanya lagi.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here