Ucapan Menteri Kewangan Tahun Lalu Adalah Sangkaan Jahat dan Mengelirukan – KJ

3

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa ucapan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada tahun lalu kononnya bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ semasa kerajaan terdahulu adalah sangkaan jahat dan mengelirukan.

Beliau berkata demikian ekoran laporan siasatan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung tuduhan tersebut mendapati tidak ada kehilangan wang kutipan GST seperti diperkatakan.

“Dengan itu, jelas sekali bahawa ucapan yang dibuat oleh Menteri Kewangan ini bukan sahaja suatu sangkaan jahat yang melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (6) sehingga memberi gambaran buruk kepada pentadbiran terdahulu.

“Malah telah dengan sengaja mengelirukan Dewan dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (12) seolah-olah suatu kejahatan iaitu rompakan telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya menerusi akaun Facebook beliau semalam.

 

Isu tunggakan bayaran balik GST itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke peringkat PAC.

PAC hari ini mengesahkan kutipan GST tersebut tidak hilang seperti yang didakwa.

Kata Khairy, walaupun laporan PAC turut dinyatakan terdapat pelanggaran tatacara pengurusan kutipan GST dan bayaran balik terutamanya melibatkan perpindahan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST serta masih terbuka untuk siasatan selanjutnya, tetapi tuduhan ‘rompakan’ adalah serius yang terbukti tidak benar.

Tambahnya, beliau dan rakan-rakan daripada blok Pembangkang telah mengusulkan agar Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas tuduhannya.

“Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming telah menolak usul ini untuk dibincangkan pada hari ini dan telah meminta agar Pembangkang membawakan usul secara bertulis.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), usul bertulis ini memerlukan notis 14 hari, tetapi persidangan Dewan Rakyat untuk sesi kali ini akan berakhir pada hari Khamis ini,” katanya.

Justeru kata Khairy, Pembangkang telah meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi jaminan agar usul ini dapat dibawa sebelum persidangan berakhir pada hari Khamis nanti. Nga Kor Ming hanya menyatakan keputusan berkenaan perkara ini akan dibuat mengikut peruntukan peraturan sedia ada.-UTUSAN ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here