Wednesday, November 27, 2024

#PRNSarawak: GPS harap kempen rumah ke rumah dibenarkan – Alexander

KAPIT  — Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi sedikit kelonggaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sarawak ke-12 nanti, termasuk membenarkan kempen rumah ke rumah.

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini memandangkan geografi dan bentuk muka bumi negeri ini yang luas serta liputan internet dan telekomunikasi yang masih tidak menyeluruh.

Katanya perkara itu mungkin akan menimbulkan kesukaran bagi parti politik dan calon bertanding untuk berkempen terutama di kawasan pedalaman, sekiranya hanya dibenarkan berkempen melalui media sosial dan media elektronik.

“Kita berharap dibenarkan (kempen rumah ke rumah) sebab kita tidak ada kemudahan sempurna, di sana (PRN Melaka) guna telefon, televisyen, internet dan macam-macam tapi di sini walau sudah ada tapi tidak menyeluruh lagi.

“Jadi kalau dilonggarkan bagi saya itu yang terbaik kerana walaupun seharusnya patuh SOP untuk bendung masalah COVID-19 akan tetapi perlu juga calon-calon dan wakil-wakil parti ini berinteraksi dengan pengundi dan penyokong,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Sarawak bagi cawangan Kapit di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media semalam berhubung SPR yang dijangka melonggarkan SOP untuk berkempen dalam PRN Sarawak, berikutan faktor geografi negeri yang luas, berbanding di Melaka yang padat dengan penduduk.

SPR akan mengadakan mesyuarat berkaitan urusan PRN Sarawak Rabu depan yang akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain. — BERNAMA

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular