KUCHING — Sagu likat yang dikenali sebagai ‘ambuyat’ atau ‘linut’ merupakan antara makanan ‘unik’ yang boleh didapati di kepulauan Borneo termasuk Sarawak.
Bertekstur seperti ‘gam’ dan dimakan menggunakan penyepit kayu, dikenali sebagai ‘atip’ bagi masyarakat Melanau, ia selalunya dimakan beramai-ramai ketika minum petang digaul bersama sambal belacan atau sayur midin dan keladi.
Dikenali juga sebagai Papeda di Indonesia, makanan itu yang dibuat menggunakan tepung sagu dan air panas bagaimanapun agak leceh disediakan kerana memerlukan teknik yang betul dan memakan masa.
Ini mencetuskan idea kepada seorang pensyarah kanan Dr Siti Mardinah Abdul Hamid untuk menghasilkan makanan popular bagi masyarakat Sabah, Sarawak, Brunei dan sesetengah kawasan di Indonesia itu dalam bentuk segera.
Pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan itu berkata pada mulanya tidak mudah bagi beliau memasarkan produk itu memandangkan ia sesuatu yang baharu, namun hasil bantuan CENTEXS Commercial Media (CCM), beliau kini mampu mengeluarkan sehingga 1,000 paket sebulan.
“Sebelum berkenalan dengan mereka (CCM) dan tahu mereka adalah pengedar, memang agak susah kerana orang tidak tahu mengenai produk kami. Sekarang ramai dah tahu kewujudan produk ini dan tempahan yang diterima juga semakin meningkat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
CCM adalah sebuah organisasi yang diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu usahawan tempatan Sarawak memasarkan produk warisan mereka.
Siti Mardinah berkata CCM membantu dari segi pemasaran, pembungkusan dan juga reka bentuk jenama.
Jelasnya, sebelum ini produk yang diberi nama Laris’S Linut Segera yang hanya bermula sebagai hobi, dijual di Pasar Satok di sini, namun beliau sememangnya menyimpan hasrat untuk memperkenalkannya di peringkat lebih luas.
“Saya telah membuat kajian sejak 2013 lagi bagi menghasilkan linut segera supaya ia dapat dinikmati sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
“CCM membantu dari segi pemasaran, sebab pemasaran mereka lebih kukuh dan menjangkau pelanggan yang lebih ramai. Kini, saya dapat keluarkan produk ini dalam skala besar sebab dah ada pasaran,” katanya.
Walaupun kini masih beroperasi di rumah, Siti Mardinah berharap dengan bantuan CCM, permintaan akan lebih bertambah sehingga beliau mampu membuka kilang sendiri bagi meningkatkan jumlah pengeluaran bagi pasaran di luar Sarawak, seterusnya antarabangsa.
Setakat ini katanya, produknya boleh didapati melalui pusat-pusat jualan CCM di seluruh negeri ini secara fizikal atau dalam talian melalui platform e-dagang seperti Grabmart atau Pandamart.
Sementara itu, Pengurus Besar CENTEXS Commercial Shahren Yusri berkata produk makanan tempatan Sarawak yang dipromosi mereka dijangka menembusi pasaran antarabangsa pada suku keempat 2022.
Beliau berkata pihaknya perlu memastikan produk-produk warisan Sarawak yang ingin diketengahkan di pasaran luar itu nanti menepati setiap persijilan dan piawaian yang telah ditetapkan.
“Itulah hasrat kami sebenarnya bila ada satu kerjasama dengan pusat penyelidikan untuk membantu kami dalam mengenal pasti produk yang boleh diketengahkan dari segi contohnya sijil halal, terutamanya untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihaknya juga telah berjaya membawa produk-produk warisan bukan berasaskan makanan seperti kraftangan, songket dan fesyen ke pasaran antarabangsa.
CCM yang ditubuhkan pada 2019 bertujuan memasarkan produk warisan dan produk berbentuk digital Sarawak hingga menjelang 2030 serta untuk membantu komuniti-komuniti Sarawak terutama para usahawan tempatan memasarkan produk keluaran mereka.
Selain mempamerkan produk-produk ini di Heritage Central Gallery, Heritage Café dan Galeri Songket Keringkam yang terletak di Kuching, entiti itu turut memasarkan produk warisan berkenaan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Sarawak.
Menurut Shahren, pemasaran turut dilakukan di platform ‘marketplace’ terkemuka seperti Shopee, GrabMart dan PandaMart sebagai usaha memperluaskan pasaran berbentuk digital yang disertai seramai 280 usahawan dan menghasilkan produk mereka secara konsisten.
“Walaupun angka itu nampak sikit tapi tujuan utama sebenarnya adalah untuk membantu usahawan yang betul-betul menghasilkan produk dan secara konsisten. Itu yang kita mahu,” katanya.