Wednesday, November 27, 2024

Penemuan mayat empat sekeluarga di Pusa jadi tanda tanya

Kes kematian empat sekeluarga diklasifikasi mati mengejut sehingga siasatan selesai

LOKASI KEJADIAN: Rumah mangsa di Lubuk Chepung yang kelihatan agak terpencil dari rumah lain di Pusa.

PUSA: Penemuan mayat empat sekeluarga yang ditemui mati di rumah mereka kelmarin menjadi tanda tanya masyarakat setempat.

Kejadian berlaku di Lubuk Chepung berhampiran kawasan Terminal Bas Pusa mengejutkan ramai pihak apabila mangsa dikenali Zaidi Pandi, 62, dan isterinya Tiah Sauti, 53, berserta dua orang anak mereka Atikah Zaidi, 27, dan Kazil Zaidi, 20, ditemui tidak bernyawa lagi oleh salah seorang saksi, Omar Pandi, 39, yang datang untuk menghantar barang kepada keluarga terbabit kelmarin.

Menurut Omar, beliau tidak menyangka bahawa kedatangannya ke rumah abangnya itu membawa kepada penemuan mayat yang telah berbau dan dikerumuni lalat.

“Apabila tiba di rumah mangsa, saya mendapati kenderaan dan selipar ada di depan rumahnya. Tetapi, tidak menyahut salam jadi saya tunggu mungkin mereka pergi ke pasar. Saya ketuk pintu dan mendapati pintu rumah mereka juga berkunci dari dalam.

“Selang beberapa minit, saya menunggu tidak juga kelihatan. Jadi, saya membuat keputusan untuk balik. Ketika itulah saya tercium bau pelik dan lalat berterbangan dari tingkap rumah mangsa.

“Saya mula rasa curiga lalu mengajak anak-anak saya untuk pergi ke balai polis untuk membuat laporan dan cuba ingin mengetahui perkara sebenar yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

“Kami bersama pihak polis terpaksa membuka rumah melalui tingkap belakang, kerana semua pintu dan tingkap berkunci.

“Saya terkejut melihat keadaan mayat empat sekeluarga yang dalam keadaan yang amat mengerikan dan menyedihkan itu,” katanya dengan nada sedih.

Mangsa, Zaidi yang juga seorang kontraktor dikatakan kali terakhir berhubung dengan anaknya pada hari Selasa sekitar jam 11 petang.

Beliau yang baharu tiba dari Saratok kerana urusan perniagaan pengusaha kantin di SMK Agama Saratok telah tamat tempoh dan sepatutnya kembali ke Pusa untuk mengusahakan semula gerai makanannya di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Saifuddin Mustapha yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat-mayat tersebut.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan daripada adik mangsa (Omar) sekitar jam 5 petang kelmarin ketika saksi pergi ke rumah mangsa di Lot 936, Jalan Kolam Lubuk Chepung, Pusa.

Sarifuddin berkata, saksi terhidu bau busuk dan terlihat kesan darah di bawah rumah mangsa.

Polis bergegas ke tempat kejadian pada jam 6.40 petang dan mendapati rumah beliau dalam keadaan berkunci dari dalam.

“Anggota kami terpaksa memecahkan pintu dapur untuk masuk ke dalam rumah yang dalam keadaan gelap. Mereka turut memasang generator yang digunakan oleh mangsa untuk memastikan keadaan dan melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pada masa yang sama, mereka melihat mangsa dalam keadaan kaku yang lengkap berpakaian berbaju Melayu, kain pelikat dan berkopiah terlentang atas sejadah.

“Sementara mayat kedua, Atikah yang dalam keadaan terlentang kepala atas bantal berpakaian berbaju-T panjang dan terdapat telekung putih atas kerusi sebelah mayat tersebut dan mayat ketiga juga dalam keadaan terlentang tidak jauh daripada mayat kakaknya. Manakala, mayat isterinya ditemui dalam bilik yang juga dalam keadaan terlentang di atas tilam.

“Mangsa mungkin telah mati dalam tempoh 48 jam lalu,” katanya.

Apapun, beliau tidak menganggap kes itu pembunuhan atau rompakan kerana semua barang berharga tidak terusik dari rumah atau badan mangsa. Beliau juga mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga siasatan selesai.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu pelbagai andaian daripada pihak luar berhubung kes tersebut sehingga siasatan lengkap daripada doktor pakar.

Pada masa yang sama, semua bahan bukti telah diambil dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Betong.

Terdahulu, mayat keempat-empat mangsa telah dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

 

+++++
Berita terdahulu:

Empat sekeluarga dijumpai mati di Pusa

BETONG: Empat sekeluarga ditemui mati dipercayai sejak beberapa hari lalu di sebuah rumah di Kampung Lubuk Chepung, Pusa, dekat sini petang semalam.

Mangsa, si suami dikenalpasti sebagai Zaidi Pandi, 62, dan isterinya Saimah, 53, serta dua anak Noratikah, 20, dan Mohd Khaizel, 27.

Sumber memberitahu mayat-mayat mangsa yang sudah busuk dan dihurungi lalat ditemui oleh seorang saudara mangsa kira-kira jam 5.30 petang dan terus menghubungi polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis masih menyiasat punca kematian.

“Setakat ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada ia kes bunuh, bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek,” kata Acryl semasa dihubungi.

Beliau menambah, barang kemas mangsa tidak hilang dari tempat kejadian dan beliau percaya insiden tersebut bukan berunsur rompakan.

“‘Kita percaya keempat-empat mangsa telah meninggal dunia sejak tiga atau empat hari lepas berikutan keadaan mayat mangsa yang berbau busuk,” katanya.

Sepasukan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular