Wednesday, November 27, 2024

Politik BN transformasi negeri Sarawak

KEMUDAHAN ASAS: Awang Tengah (tiga kanan) meneliti carta Majlis Pelancaran Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Pemasangan Talian Atas 33Kv dari Simpang Bau ke Simpang Serikin/Krokong, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Entri, Dawos, Dr Jerip dan Naroden

BAU: Politik pembangunan bagi mensejahtera dan men­ingkatkan taraf hidup rakyat merupakan keutamaan serta komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya membawa kepada transformasi di negeri ini.

Menteri Perancangan Sum­ber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, malahan melalui dasar dan perjuangan politik pembangunan, kera­jaan juga mampu memberi peluang kepada rakyat terlibat dalam ekonomi serta industri kecil.

“Kita sepatutnya bangga se­jak merdeka dan membentuk Malaysia selama 49 tahun, kita dapat melihat perubahan di negeri kita bukan sahaja secara fizikal tetapi juga ekonomi, pendidikan, kesihatan serta sikap rakyat kita yang beru­bah dan lebih berkeyakinan tinggi.

“Ini juga disebabkan kepimpinan kita dan kerajaan (BN) yang berjaya menyatu­padukan masyarakat menerusi kepimpinan Yang Amat Ber­hormat Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) kita menerusi politik pemban­gunan yang diperjuangkan selama ini,” katanya.

Berucap merasmikan Ma­jlis Pelancaran Projek Beka­lan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Dewan Masyarakat Krokong di sini semalam, Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam menjelaskan, kerajaan BN sen­tiasa menitikberatkan politik pembangunan mensejahter­akan rakyat, bukan sebaliknya seperti segelintir pihak yang lebih membawa kemunduran kepada rakyat.

Beliau menegaskan, golon­gan sedemikian hanya mahu mengutuk pembangunan yang dibawakan kerajaan dan bu­kannya membawa kemajuan kepada rakyat.

“Kita sedar tidak semua projek pembangunan yang dilaksanakan dapat dilakukan sekali gus di semua tempat kerana Sarawak berbeza dari segi taburan penduduk dan sehingga hari ini, kita mempu­nyai hampir 6,000 kampung serta rumah panjang bert­aburan seluruh Sarawak.

“Kita sedar masih ada di antara masyarakat kita belum menikmati Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB), namun kita harus in­gat bahawa keadaan kini jauh berubah jika dibandingkan 49 tahun lalu,” ujar beliau.

Di Sarawak, katanya, kera­jaan memberi keutamaan kepada keperluan asas luar bandar seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi meningkatkan taraf hidup rak­yat di kawasan luar bandar.

Misalnya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dalam tempoh dua tahun Sarawak menerima peruntukan bagi BALB seban­yak RM1.5 juta dan RM1.7 juta bagi BELB, jelasnya.

“Ini selari dengan matlamat kita untuk mencapai sasaran 95 peratus penduduk Sarawak mendapat bekalan elektrik daripada 74 peratus buat masa ini,” kata beliau.

Berhubung projek BELB di kawasan Parlimen Mambong sejak 2009 hingga tahun ini, kerajaan telah memperun­tukkan lebih RM80 juta bagi pelaksanaannya.

Sementara semalam, projek BELB bagi kontrak (2012-2013) di kawasan Krokong yang merangkumi lapan buah kampung termasuk Kampung Batu Spit, Kampung Pisa, Kampung Peros, Kampung Pengkalan Tebang, Kampung Ledan Gumbang dan tiga lagi kampung lain menelan kos RM8.5 juta.

Hadir sama Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Syl­vester Entri Muran, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dr Jerip Susil, Timbalan Speaker DUN Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular