Wednesday, November 27, 2024

30,000 Penduduk Kapit Hadapi Isu Air Kerana Kemarau

SIBU, 30 Ogos  — Lebih 30,000 penduduk di Kapit kini berdepan masalah bekalan air dan pengangkutan, berikutan keadaan kemarau yang bukan saja mengeringkan air perigi tetapi juga paras air sungai, sekali gus menghalang laluan bot.

Residen Kapit Dahim Dandot berkata 30 daripada 45 sekolah di bahagian itu juga terjejas akibat kekurangan bekalan air.

“Mujurlah sekarang sekolah tutup kerana cuti Hari Raya,” katanya kepada pemberita, di Kapit.

Dahim berkata ada sungai dan telaga yang telah kering, manakala yang lain mengering dengan cepat, sementara paras air di beberapa kawasan di Sungai Rajang merosot teruk sehingga tidak boleh dilalui oleh bot.

Paras air yang cetek antara pekan Kapit dan Belaga memaksa pengusaha bot menghentikan perkhidmatan mereka, katanya.

Akhbar Borneo Post hari ini memetik beliau sebagai berkata pihak berkuasa mungkin perlu memaklumkan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi mengisytiharkan darurat sekiranya masalah itu berterusan bagi tempoh 18 hari akan datang.

Dahim berkata pihaknya juga telah membuka bilik operasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, mereka yang menuju ke pekan Belaga harus ke Sibu terlebih dahulu dan menggunakan pengangkutan darat untuk ke Bintulu sebelum ke Belaga.

Keadaan itu menyebabkan kos perjalanan meningkat sehingga RM200 seorang meliputi penginapan dan makanan, berbanding kebiasaan kurang daripada RM30 jika mengambil bot ekspres dari Kapit ke Belaga dengan tempoh perjalanan antara tujuh hingga lapan jam.

Kebanyakan penduduk di Kapit percaya masalah air itu berlaku awal Oktober lepas apabila proses penakungan air di Empangan Bakun bermula dan aliran air sungai dialih ke empangan tersebut.

Walaupun air dilepaskan daripada empangan itu dari semasa ke semasa, jumlahnya tidak memadai.

Paras air sungai dijangka kembali normal menjelang Oktober ini apabila empangan itu dibenar melepaskan kembali air ke sungai, dan penduduk hanya mampu berharap keadaan kemarau sudah berakhir sebelum tempoh itu.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular