Wednesday, November 27, 2024

Buaya julang mayat mangsa

BERUSAHA... pasukan penyelamat mencari Sulaiman di Sungai Sebelak

SARATOK: “Saya melihat buaya itu muncul di permukaan air sambil menjulang tubuhnya sebelum menghilangkan diri secara perlahan-lahan ke dasar sungai,” kata Safri Hassan, 20, ahli keluarga Sulaiman Abdullah, 66, yang dikhuatiri maut selepas dibaham buaya di Sungai Sebelak, dekat Kampung Roban, di sini, awal pagi semalam.

Safri yang menceritakan perkara itu berkata, dia terserempak dengan buaya itu ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa penduduk di sekitar tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, buaya berkenaan muncul sambil menjulang tubuh mangsa. Saya terkejut namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum reptilia itu menghilangkan diri.

“Tindakan buaya berkenaan menunjukkan tubuh mangsa seolah-olah ‘meminta izin’ daripada kami untuk memakannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sulaiman bersama anaknya, Endoi, 40, serta cucunya, Nazri, 9, keluar menangkap udang di sungai berkenaan, jam 4.30 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa memunggah jaring menangkap udang ke dalam perahu, namun tiba-tiba seekor buaya sepanjang tiga meter muncul berdekatan perahunya sebelum menyambar kaki mangsa lalu mengheret ke sungai.

Difahamkan, anak dan cucu mangsa tidak sempat membantu menarik mangsa berikutan cuaca gelap selain bimbang diserang reptilia berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk.

Ini kejadian kedua sepanjang tahun ini membabitkan buaya mengganas di sungai berkenaan di mana sebelum ini penduduk, Menkay Goheh maut selepas dibaham buaya ketika mencuci tangan, Mei lalu.

Kejadian berlaku ketika Menkay keluar bersama rakannya menangkap udang, jam 12 tengah malam menggunakan bot.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein berkata, mangsa bersama anak dan cucu dikatakan keluar menangkap udang jam 3 pagi ketika air sungai surut.

Beliau berkata, setakat ini operasi dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.

“Operasi bermula jam 10 pagi tadi (semalam) dan tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan.

“Ini kerana mangsa mungkin dibawa ke sana (lubuk). Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa,” katanya

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular