SONG: Keadaan di pekarangan jeti, di sini, cemas apabila dua bot ekspres bertembung menyebabkan seorang pembantu juragan satu daripada bot terbabit terjatuh dan dikhuatiri lemas dalam Sungai Rejang, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila bot ekspres dari Kapit dikatakan membuat pusingan ‘U’ kerana mahu berlabuh di jeti berkenaan.
Pada masa sama, sebuah lagi bot sedang berundur keluar dari jeti untuk ke Sibu sebelum kedua-duanya berlanggar. Menurut sumber, akibat pelanggaran itu, dua pembantu juragan yang kebetulan berada di belakang bot dari Kapit terjatuh ke dalam sungai.
“Seorang daripada mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai, manakala seorang lagi dikenali sebagai Bayu, 26, yang bekerja sebagai pengutip tiket bot ekspres berkenaan dipercayai warga Indonesia, dikhuatiri lemas kerana tidak tahu berenang.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua bot kebocoran, namun lebih 50 penumpang dalam kedua-dua bot terbabit diselamatkan dengan bantuan bot lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan Zayadi Sebeli berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira jam 3.45 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, setakat jam 6 petang semalam, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum mendatangkan hasil berikutan keadaan arus sungai yang agak deras.
“Kami turut meminta pertolongan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit serta IPD Sibu bagi membantu mencari mangsa,” katanya.
Kejadian semalam insiden pertama membabitkan pelanggaran bot tahun ini. Tahun lalu, 11 penumpang maut apabila bot ekspres dinaiki mereka karam selepas melanggar tali tongkang berhampiran kem pembalakan di Hulu Sungai Anap di Tatau.